Pembangunan Sosial

  1. Sukarelawan Belia Pulau Pinang (Penang Youth Volunteer)

Sukarelawan Belia Pulau Pinang telah dilancarkan pada 1 Mac 2020 oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) di bawah Jawatankuasa MMK Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan pasukan sukarelawan dalam kalangan belia Pulau Pinang yang berkebolehan untuk memberikan perkhidmatan sukarela kepada masyarakat setempat dan membina hubungan belia dengan masyarakat.

Terdapat banyak aktiviti kesukarelawanan yang telah disertai oleh Sukarelawan Belia Pulau Pinang di bawah tujuh kategori yang berlainan iaitu, seni dan budaya; alam sekitar; pendidikan; sukan; bencana alam; pertolongan cemas; dan kerja amal.

  1. Sidang Muda

Sidang Muda merupakan program anjuran tahunan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sejak tahun 2015. Sidang Muda 2021 merupakan finale bagi siri program Sidang Muda yang telah bermula sejak April 2021. Persidangan Sidang Muda kali ini telah disusun semula supaya perjalanan persidangan lebih menyerupai persidangan DUN yang sebenar agar para Ahli Sidang Muda dapat melibat dalam proses membuat keputusan di peringkat negeri dengan lebih tepat dan realistik. Persidangan Sidang Muda 2021 adalah terbahagi kepada dua sesi, iaitu Sesi Soalan Lisan dan Sesi Perbahasan.

  1. Umur18 Jadi Calon (Program: Calon18: Edisi Penang)

Perbadanan Pembagunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah melaksanakan Kempen Umur18 Jadi Calon untuk meningkatkan kesedaran golongan belia tentang isu pindaan had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Satu soal selidik yang bertujuan untuk mengumpulkan pandangan belia mengenai isu ini telah dilaksanakan. Hasil soal selidik tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada bulan Ogos 2021 bagi Cadangan Penggubalan Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 mengenai had umur calon ADUN daripada 21 tahun ke 18 tahun. Seterusnya, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri yang Keempat Belas pada 1 September 2021 telah meluluskan Usul Cadangan Penggubalan Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 mengenai had umur calon ADUN daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Calon18: Edisi Penang

Untuk memastikan kesinambungan daripada Persidangan Sidang Muda, program Calon18: Edisi Penang telah dilaksanakan. Calon18: Edisi Penang adalah program pembinaan kapasiti secara maya yang telah dijalankan selama satu bulan dengan tujuh topik modul. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada golongan belia tentang landskap politik negara serta memperkasakan anak muda dalam kepemimpinan masyarakat dan juga melatih anak muda Pulau Pinang yang berpotensi untuk menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Tujuh topik modul yang telah disampaikan adalah,

  • Proses Pengumpulan Dana dan Pembiayaan Politik;
  • Prosedur Parlimen;
  • Proses Penggubalan Dasar Kerajaan Persekutuan;
  • Memahami Belanjawan Nasional;
  • Pengenalan kepada Reformasi Institusi;
  • Kempen Digital; dan
  • Berkomunikasi dengan Pihak Media.
  1. Undi18

Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 25 Julai 2019 telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan had umur calon Ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun. Tujuan pindaan ini adalah untuk memberi peluang, ruang dan suara kepada anak-anak muda untuk sama-sama berganding bahu mencorakkan demokrasi negara melalui pilihan raya. Kini, belia berumur 18 tahun ke atas berhak memilih dan menentukan pemimpin negeri dan negara. Belia boleh menyemak Semakan Daftar Pemilih di laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). https://mysprsemak.spr.gov.my/semakan/daftarPemilih

Objektif

  1. Meningkatkan kesedaran sivik antara golongan belia di Pulau Pinang.
  2. Menggalakkan golongan muda untuk mengundi di pilihan raya yang akan datang.
  3. Memberi pendedahan mengenai proses dan sistem pilihan raya di Malaysia.